Masyarakat Keturunan Arab di Pulau Pinang:Dahulu dan Sekarang

Omar Farouk Bajunid Hiroshima City University


Sinopsis

Masyarakat keturunan Arab adalah salah satu masyarakat yang tertua di Pulau Pinang. Masyarakat ini telah memainkan peranan yang cukup positif didalam perkembangan sejarah tempatan selama lebih dua rates tahun sambil memainkan peranan yang dominan didalam pelbagai bidang sama ada dari segi keugamaan, kesusasteraan, perniagaan, perdagangan, perkapalan, pendidikan mahupun perundangan dan politik. Apa yang menarik ialah, di-sebalik proses integrasi dan lokalisasi yang mereka alami setelah sekian lama bermastautin di Pulau Pinang, orang-orang keturunan Arab nampaknya masih mampu memelihara sifat-sifat tertentu yang menonjolkan mereka sebagai suatu kumpulan ethnik yang unik. Keadaan ini juga sekaligus telah membantu mempelbagaikan lagi rupabentuk dan komposisi masyarakat majmuk yang sedia ada di Pulau Pinang.. Perbincangan ini bertujuan meninjau unsur-unsur kesinambungan dan perubahan yang menyentuh profil dan peranan masyarakat keturunan Arab di Pulau Pinang selama lebih dua abad yang lalu sehingga sekarang.

Didalam memperkatakan kedudukan dan peranan masyarakat keturunan Arab di Pulau Pinang, empat faktor utama harus di tekankan. Pertama, adalah hakikat bahawa kemunculan masyarakat keturunan Arab di Pulau Pinang adalah kesan sampingan daripada perhubungan sejarah yang telah terjalin diantara orang Arab dengan rantau Asia Tenggara, khususnya dengan Kepulauan Melayu selama lebih suatu alaf Semasa memulakan pentadbiran moden di Pulau Pinang mulai 1786 Tahun Masehi, pihak British dibawah kepimpinan Francis Light telah berusaha dan berjaya menarik jaringan perdagangan Arab yang sedia ada di Aceh ke Pulau Pinang. Perkembangan ini telah menyegerakan kejayaan Pulau Pinang sebagai suatu pusat perdagangan baru yang viable dirantau ini. Kedua, peranan orang-orang Arab sama ada di Dunia Melayu amnya ataupun di Pulau Pinang khususnya, tidak boleh dipisahkan dari jalur Islam dirantau ini. Didalam konteks Pulau Pinang terutamanya, penindihan peranan diantara Islam dan Arab begitu ketara sekali. Orang-orang Arab telah mengwujudkan perhubungan simbiotik dengan masyarakat Islam yang lain di Pulau tersebut khususnya dengan masyarakat Melayu. Perkahwinan merupakan saluran yang terpenting didalam menghasilkan simbiosis perhubungan ini. Ketiga, perhubungan diantara orang Arab dengan masyarakat tempatan merupakan suatu fenomena yang berterusan. Penghijrahan berterusan Orangorang Arab ke Pulau Pinang dari berbagai negeri dan kawasan pula telah membantu menghidupkan masyarakat keturunan Arab tempatan. Keempat, Pulau Pinang telah dijadikan pengkalan loncatan bagi orang Arab meneroka ke kawasan persekitaran termasuk Negeri-negeri Melayu, Negeri Thai dan Burma.

Penempatan Arab yang terawal di Pulau Pinang dalam zaman pentadbiran British adalah di Leboh Aceh. Batu Uban, dipercayai mendahului kawasan Leboh Aceh sebagai pengkalan awal penghijrahan orang keturunan Arab di Pulau Pinang. Namun begitu, kawasan di Leboh Aceh, terutamanya di perkarangan Masjid Melayu, dianggap sebagai nadi kehidupan bermasyarakat Arab. Penempatan moden Arab yang lain seperti di kawasan Jalan Kebun Limau yang kini dikenali sebagai Jalan Melaka dan Jalan Seang Teik, dan Kampung Syed, di Jalan Burmah, lima enam dekad selepas penempatan kawasan Leboh Aceh dimulakan. Namun demikian, pusat tumpuan masyarakat keturunan Arab Pulau Pinang terus terletak di Leboh Aceh sehingga tahun 1960an. Peranan masyarakat keturunan Arab juga berkait rapat dengan sejarah perkembangan masjid dan penempatan dan pendidikan Islam di Pulau Pinang. Memandangkan Bahasa Arab merupakan bahasa pengantar khutbah dan pengajaran ugama di seluruh Pulau Pinang sehingga sekitar tahun 1930an, peranan orang keturunan Arab, terutamanya yang fasih didalam bahasa tersebut, dengan sendirinya dominan dikalangan masyarakat Muslim. Sejarah pendidikan moden Islam dan kemunculan sistem persekolahan Arab juga telah dikendalikan oleh masyarakat keturunan Arab. Sebelum pendidikan Islam moden bermula orang keturunan Arab lazim di-anggap oleh anggota masyarakat Muslim yang lain sebagai model kehidupan Islam.

Dikalangan masyarakat keturunan Arab pula, tugas kepimpinan lazimnya terletak dipikul oleh golongan tua yang fasih berbahasa Arab terutamanya dari kalangan tokoh-tokoh yang lahir di negeri Arab. Majoriti masyarakat keturunan Arab terdiri dari golongan yang berasal dari Hadhramaut, walaupun terdapat juga beberapa keluarga yang utama yang berasal dari Arab Saudi, Mesir dan Irak. Hampir kesemua orang keturunan Arab di Pulau Pinang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan masyarakat Muslim Pulau Pinang terutamanya masyarakat Melayu. Umumnya orang keturunan Arab di Pulau Pinang mempunyai dan menggunakan nama clan yang mendedahkan identiti Arab mereka. Terdapat lebih kurang lima puluh clan Arab di Pulau Pinang.

Pada hari ini boleh dikatakan semua orang keturunan Arab dengan mudah menerima dan memakai gelar Melayu sama ada secara rasmi seperti pengkelasifikasian didalam kad pengenalan ataupun secara tidak rasmi, didalam pergaulan harian. Orang-orang keturunan Arab adalah di-antara kumpulan yang paling giat dan bersungguh-sungguh menubuh dan menyertai U.M.N.O. misalnya. Malahnya U.M.N.O. Pulau Pinang telah di pimpin oleh orang keturunan Arab pada tahun-tahun awal penubuhannya hingga ke tahun 1970an. Sampai hari ini terdapat ramai anak keturunan Arab yang giat didalam politik kepartian menyokong U.M.N.O. Ini melambangkan tahap integrasi politik yang cukup tinggi sekali. Rata-rata, kebudayaari masyarakat keturunan Arab juga kian di-serap oleh nilai-nilai dan norma-norma Melayu. Malah, sejumlah yang ramai orang keturunan Arab di Pulau Pinang telah dibudayakan sepenuhnya oleh budaya Melayu. Islam, khususnya, telah muncul sebagai wadah untuk menyatukan masyarakat Muslim di bawah naungan masyarakat Melayu. Namun, masih terdapat aspek-aspek tertentu amalan masyarakat keturunan Arab dan lambang-lambang identiti Arab di dalam pelbagai bentuk yang telah membantu memelihara warisan budaya dan sosial masyarakat tersebut sebagai suatu masyarakat yang unik dengan ciri-ciri tersendiri. Walaupun Islam disuatu tahap merapatkan jurang diantara masyarakat keturunan Arab dengan golongan yang lain terutamanya orang Melayu, disuatu tahap yang lain, Islam telah juga membantu masyarakat keturunan Arab memupuk historical consciousness mereka sebagai “pemelihara ugama Islam”.