Pengkishan Melayu Pulau Pinang: Sessi Sejarah Lisan
Rapporteur Omar b.Yusoff

back

Mukadimmah
Sesi sejarah lisan diadakan pada jam 3.30 petang. Sesi ini dipengerusikan oleh Prof. Omar Farouk Bajunid iaitu seorang Profesor daripada Hiroshima City University, Jepun. Ahli-ahli panel yang mengambil bahagian dalam sesi ini ialah: Cikgu Haji Yusoff Azmi Merican (Kumpulan Waris & Nazir Wakaf, Persatuan Warisan Pulau Pinang), Cikgu Mohamed bin Yahaya (Lebuh Acheh, Pulau Pinang) dan Cikgu Mohd. Bahroodin Ahmad (Penasihat kebudayaan, Persatuan Warisan Pulau Pinang).


Sejarah Lisan Masakini
Dalam memperkatakan tentang sejarah lisan, pengerusi menegaskan kebanyakan masyarakat hari ini mengabaikan sejarah lisan. Sehubungan itu, beliau menyatakan adalah perlu bagi kita merekodkan sejarah umat Islam di Pulau Pinang yang disampaikan oleh golongan tua secara lisan sama ada dalam mana-mana perjumpaan ataupun secara temubual dengan mereka. Jika tidak berbuat demikian cerita-cerita yang diketahui oleh mereka mengenai umat Islam di Pulau Pinang akan hilang begitu sahaja ditelan arus zaman. Ini akan merugikan generasi mendatang kerana mereka tidak lagi mempunyai ingatan mengenai sejarah kaum Melayu Selat di Pulau Pinang. Beliau berpendapat, walaupun pulau ini kecil tetapi ia agak unik kerana pulau ini begitu kaya dengan warisan sejarah pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, Arab, Acheh dan sebagainya

Dalam usaha memperkasakan sejarah umat Islam di Pulau Pinang, beliau mencadangkan pihak-pihak tertentu seperti ahli-ahli sejarah, antropologi, arkeologi dan sebagainya hendaklah terus berusaha memperbanyakkan lagi penyelidikan mengenai masyarakat ini. Lantaran itu, dalam usaha menjayakan penyelidikan seumpama ini beliau mengharapkan lebih banyak lagi sarjana-sarjana tempatan tampil kehadapan untuk mengkaji sejarah umat Islam di Pulau Pinang daripada pelbagai sudut, sama ada perdagangan, kebudayaan dan sebagainya.


Pembentangan Ahli-Ahli Panel

1. Cikgu Yusoff Azmi Merican
Tajuk : Kaum 'Jawi Peranakan' Di Pulau Pinang

Sejarah kaum 'Jawi Peranakan' di Pulau Pinang telah disampaikan oleh Cikgu Yusoff Azmi Merican. Beliau menceritakan serba ringkas mengenai asal usulnya. Dari segi genealogi, beliau merupakan generasi ke-6 Hashim Yahya Merican. Pada tahun 1970, beliau telah dilantik menjadi Nazir Masjid Hashim Yahya di Jalan Perak. Beliau sendiri adalah keturunan 'Jawi Peranakan' dan menunjukkan sijil beranaknya yang menyebut bangsanya sebagai 'Jawi Peranakan'. Menurut beliau, golongan ini mempunyai darah campuran India Muslim. Beliau menegaskan komuniti India Muslim telahpun berhijrah ke Pulau Pinang sebelum Pulau Pinang dibuka oleh Kapten Light. Mereka datang ke Pulau Pinang dengan menaiki kapal layar yang dibuat sendiri. Kebanyakan daripada golongan India Muslim yang datang ke Pulau Pinang terdiri daripada kaum Marakayar yang berasal daripada Selatan India. Kawasan penempatan awal mereka adalah di sekitar Lebuh Chulia.

Menurut beliau, Marakayar berasal daripada perkataan Arab. Dari segi etimologi Arab, Marakayar bermaksud perahu ataupun kapal. Tujuan utama kedatangan mereka ke Pulau Pinang adalah untuk berdagang. Namun demikian, ada juga di antara mereka yang datang ke sini sebagai banduan. Setelah banduan-banduan ini dibebaskan ada yang terus menetap di Pulau Pinang. Malah mereka lebih suka menetap di Pulau Pinang. Ada juga di antara mereka telah berkahwin dengan wanita-wanita Melayu Pulau Pinang dan akhirnya menetap terus di Pulau Pinang.

Menurut beliau, pembentukan kaum 'Jawi Peranakan' di Pulau Pinang adalah hasil daripada perkahwinan campur di antara lelaki India Muslim dengan wanita Melayu. Dengan wujudnya perkahwinan seumpama ini, lahirlah satu generasi campuran. Dari segi fizikal, generasi ini mempunyai rupa paras yang lebih cantik. Selain itu, kaum ini juga adalah lebih cerdas dari segi pelajaran. Dari segi hantaran, beliau menyatakan anak 'Mami Pulau Pinang' memang terkenal dengan harganya yang tinggi, seperti kata orang Pulau Pinang 'tak dak RM 5,000 jangan pinang anak Mami'.

Dari segi pendidikan, golongan 'Jawi Peranakan' memang mengambil berat tentang pelajaran. Pada awalnya sistem pondok memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat Pulau Pinang. Justeru, kebanyakan daripada golongan tua kaum 'Jawi Peranakan' mendapat pendidikan di sekolah-sekolah seumpama ini. Mereka begitu mahir dalam penulisan Jawi. Dalam usaha untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat Melayu di Pulau Pinang maka lahirlah majalah-majalah yang dihasilkan oleh kaum 'Jawi Peranakan'. Salah satu daripadanya ialah majalah Jawi Peranakan. Setelah wujudnya sistem pendidikan sekular, ramai daripada anak-anak 'Jawi Peranakan' mendapat pendidikan di sekolah-sekolah seumpama ini dan ada di antara mereka memegang jawatan tertinggi.

Menurut beliau, Sheik Basha Othman Merican adalah di antara kaum 'Jawi Peranakan' yang menjawat jawatan tertinggi. Beliau pernah dilantik sebagai Pengetua di Sekolah Province Wellesley dan pernah menjadi penyelia di RIDA Training College. Untuk mengetahui budaya 'Jawi Peranakan', beliau menyarankan kita tonton beberapa filem yang dihasilkan oleh Allahyarham Tan Seri P. Ramlee.

Dalam usaha untuk menjalankan pelbagai aktiviti di Pulau Pinang, lahirlah Persatuan Melayu Pulau Pinang. Persatuan ini telah memainkan peranan penting dalam hal-hal kebajikan masyarakat Melayu di Pulau Pinang. Menurut beliau, Sir Dr. Kamal Ariff, datuk kepada Nazir Ariff, adalah juga diantara orang yang dianggap penting dalam persatuan ini. Mengenai persatuan, beliau juga telah menyentuh secara ringkas mengenai Bendera Merah dan Bendera Putih. Menurutnya persatuan ini cukup terkenal di Pulau Pinang satu ketika dahulu dan ia dipengaruhi oleh kongsi gelap Cina yang wujud di Pulau Pinang.

Dari segi interksi sosial, beliau menyatakan di sekitar tahun 1930an ataupun 1940an timbul konflik di antara golongan peranakan Arab dengan golongan 'Jawi Peranakan'. Namun begitu, konflik tersebut dapat diselesaikan. Selain itu, kaum 'Jawi Peranakan' juga telah memainkan peranan penting dalam menentang pembentukan Malayan Union. Selain itu, kaum ini juga telah berjuang untuk menuntut kemerdekaan.

Kesimpulan
Sebagai rumusan, pengerusi menyatakan persoalan untuk mengekalkan identiti sesuatu kaum merupakan persoalan utama dalam setiap masyarakat. Walaupun mereka terdiri daripada orang Acheh, 'Jawi Peranakan', Mendeling, Java, India Muslim dan sebagainya. Soal utama yang dibincangkan adalah mengenai pengekalan identiti mereka. Justeru, menurut beliau jika kita ingin memahami 'Jawi Peranakan' jalur Islam itu adalah merupakan tunggak utama yang dapat mengeratkan kaum ini dengan orang Melayu di Pulau Pinang. Di samping itu, dalam usaha mewujudkan integrasi sosial di antara kedua-dua kaum ini, penubuhan persatuan-persatuan dianggap penting. Persatuan yang ditubuhkan diibaratkan sebagai payung yang dapat melindungi kepentingan kedua-dua kaum ini, sama ada berkaitan hal-hal politik, ekonomi mahupun sosial.


2. Cikgu Mohamed Bin Yahaya.

Tajuk : Penempatan Orang Melayu Di Lebuh Acheh

Beliau dilahirkan pada 1938 di rumah No. 69, Lebuh Acheh dan masih menetap di alamat tersebut. Dari segi genealogi, beliau merupakan generasi ke-5 Sheikh Omar Basheer. Beliau juga telah menyentuh secara ringkas mengenai kariernya. Dari segi penempatan umat Islam di kawasan bandar, beliau menyatakan kalau orang India Muslim dan 'Jawi Peranakan' terkenal di Lebuh Chulia, maka orang Melayu juga terkenal di Lebuh Acheh. Kawasan ini merupakan kawasan penempatan awal orang Melayu.

Menurut beliau, pada abad ke-18, Acheh telah pun diduduki oleh pedagang-pedagang Arab dan India Muslim. Tempat ini dijadikan oleh mereka sebagai pusat penyebaran agama Islam di Gugusan Pulau-Pulau Melayu. Salah seorang daripada pedagang-pedagang Arab ini ialah Tengku Syed Hussain Al-Aidid yang sememangnya sudah terkenal di kalangan orang Melayu Pulau Pinang.

Pada tahun 1792, Tengku Syed Hussain Al-Aidid dan puak-puaknya telah berhijrah ke Pulau Pinang. Rombongan mereka telah menetap di Acheen Street yang terdapat sekarang ini. Kemudiannya, beliau telah membangunkan sebuah pejabat dan gudang untuk menjalankan perniagaannya di kawasan tersebut. Berdasarkan kepada harta yang dimilikinya, Kapten Light menganggapnya sebagai salah seorang yang paling kaya di Pulau Pinang pada ketika itu.

Menurut beliau, pada realitinya apabila ada penempatan orang Melayu atau pun orang Islam, Masjid merupakan perkara utama untuk dibangunkan bertujuan untuk menjalankan segala perintah Allah. Lantaran itu, sebuah Masjid telah dibina oleh Syed Hussain Al-Aidid di kawasan ini di sekitar tahun 1808. Masjid ini dikenali sebagai Masjid Melayu di Acheen Street. Selain mendirikan sebuah Masjid, Syed Hussain Al-Aidid juga telah memainkan peranan penting dalam menjaga hal-hal kebajikan orang Melayu di Lebuh Acheh. Beliau banyak membantu orang Melayu di kawasan tersebut.

Menurut beliau, Syed Hussain Al-Aidid telah kembali keRahmatullah pada tahun 1820an. Beliau telah disemadikan berdekatan dengan Masjid tersebut. Memandangkan Syed Hussain Al-Aidid banyak berjasa kepada masyarakat Melayu di Pulau Pinang, beliau mengharapkan pihak pemerintah hendaklah melakukan sesuatu sebagai tanda menghargai jasa-jasanya dan usahlah dibiarkan segala pengorbanannya yang lalu hanyut ditelan zaman dan generasi mendatang tidak mengenal sejarah Syed Hussain Al-Aidid.

Menurut beliau, pada ketika itu, orang Melayu juga memainkan peranan penting dalam usaha mereka menyalurkan maklumat kepada kaum sendiri. Sehubungan itu, wujudlah persuratkhabaran Melayu pada ketika itu. Salah satu daripadanya ialah Sahabat Pena yang dikeluarkan pada 1938. Pengetuanya ialah S.M. Zainal Abidin. Dengan adanya persuratkhabaran Melayu sedikit sebanyak ia dapat memperkayakan minda orang Melayu pada ketika itu, terutamanya mengenai hal-ehwal Pulau Pinang. Selain itu, untuk menyampaikan mesej kepada orang Melayu, Boria merupakan salah satu daripada saluran yang digunakan. Beliau juga menyatakan, pada ketika itu, pelabuhan di Pulau Pinang juga telah digunakan sebagai tempat perkumpulan bagi orang Islam yang hendak mengerjakan Haji.

Kesimpulan
Sebagai rumusan, pengerusi menyatakan selain daripada golongan 'Jawi Peranakan' dan orang Arab, orang Melayu juga memainkan peranan penting di kawasan bandar. Oleh yang demikian golongan ini tidaklah boleh dikatakan sebagai golongan yang tinggal terpencil di kawasan desa sahaja. Beliau juga menyatakan, sebagai mengenang jasa Syed Hussain Al-Aidid pihak kerajaan haruslah memberikan pengiktirafan kepadanya dan sejarah mengenainya haruslah dikembangkan kepada generasi mendatang. Dengan adanya sejarah-sejarah seumpama ini, beliau menyatakan orang Melayu juga tidak ketinggalan dalam pembangunan Pulau Pinang suatu masa dahulu, terutamanya berkaitan perdagangan sepertimana yang dijalankan oleh golongan India Muslim mahupun golongan bukan Islam.

3. Cikgu Mohd. Bahroodin Bin Ahmad.
Tajuk : Orang Melayu Pulau Pinang Dari Perspektif Budayanya

Beliau telah menceritakan serba ringkas mengenai latar belakangnya. Beliau mempunyai pengalaman yang banyak mengenai adat resam Melayu, boria, bangsawan, tarian dan lain-lain pementasan tradisional. Untuk menyampaikan tajuk di atas, beliau memfokuskan kepada empat perkara utama iaitu: Dialek Melayu Pulau Pinang, pakaian, upacara perkahwinan dan makanan Melayu di Pulau Pinang.

Beliau berpendapat, Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang unik. Walaupun, negeri ini dianggap kecil, tetapi ia cukup kaya dengan kepelbagaian warisan budayanya. Menurutnya, di Pulau Pinang terdapat komuniti Rawa, Minang, Acheh, Jawa, 'Jawi Pekan', India Muslim dan sebagainya. Dengan wujudnya interkasi sosial di antara golongan-golongan ini, pada hari ini budaya juga telah bercampur aduk. Namun begitu, masih terdapat sesetengah daripada komuniti ini mengekalkan adat resam mereka. Pengekalan ini merupakan satu usaha yang dilakukan oleh mereka dalam mempertahankan garis sempadan etnik mereka agar identiti mereka terus kekal.

Menurut beliau, walaupun rata-rata masyarakat Malaysia menganggap bahasa orang Melayu Pulau Pinang itu adalah Bahasa Melayu. Tetapi, dari segi dialek terdapat perbezaannya di antara satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Sebagai contoh, dari segi sosio-linguistik, dialek yang digunakan di kawasan Datok Keramat adalah berbeza dengan mereka yang tinggal di Telok Kumbar ataupun di Balik Pulau. Di samping itu, beliau juga menyatakan terdapat beberapa bahasa Tamil yang dipinjamkan oleh orang Melayu Pulau Pinang, terutamanya berkaitan istilah persanakan. Misalnya, Mamak, Mamu, Mami, Nana, Jee, Ba dan sebagainya. Dari pemerhatian beliau, istilah-istilah persanakan ini banyak digunakan di kalangan kaum "Jawi Pekan'.

Mengenai pakaian orang Melayu Pulau Pinang suatu ketika dahulu, ia dianggap menarik dan setiap komuniti mempunyai pakaian tradisi tersendiri. Sebagai contoh, orang 'Jawi Pekan' memakai 'Baju T' di dalam dan diluarnya mereka memakai Kot berserta dengan Kain Pelaikat dan juga Songkok yang dibeli daripada Acheh. Menurut beliau, ada juga sesetengah komuniti Melayu yang menggantungkan Jam di baju mereka dan ada juga yang memakai Songkok secara menegak dan untuk melaram ada juga di antara mereka menyerengkan Songkok mereka. Beliau menyatakan pada ketika itu, terdapat pelbagai nama jolokan mengenai pakaian Melayu antaranya seperti 'Kod Asam Pedas', 'Baju Kancing Lima' dan sebagainya. Baju-baju yang dipakai juga melambangkan status seseorang. Selalunya baju-baju seumpama ini dipakai oleh masyarakat Melayu di bandar.

Beliau juga menyentuh tentang adat perkahwinan orang Melayu Pulau Pinang. Menurutnya, pada masa dahulu upacara perkahwinan begitu meriah sekali. Biasanya mereka akan pegang pada adat resam dan semua sanak-saudara akan berkumpul lebih awal sebelum kenduri perkahwinan kaum kerabat mereka. Mengenai adat perkahwinan, beliau menyatakan terdapat adat 'suap gula' yang diamalkan dalam masyarakat Melayu Pulau Pinang. Berdasarkan adat ini, ahli keluarga akan menyuapkan gula dan juga susu ke mulut pengantin. Justeru, beliau berpendapat adat ini merupakan adat yang diamalkan di kalangan India Muslim di Pulau Pinang. Adat ini dianggap sebagai sesuatu yang unik yang terdapat dalam acara perkahwinan masyarakat Melayu Pulau Pinang, kerana di negeri-negeri lain adat seumpama ini tidak dilakukan.

Selain itu, beliau juga menyentuh tentang kepelbagaian makanan yang terdapat di Pulau Pinang. Menurut beliau, Pulau Pinang terkenal dengan makanan yang pedas-pedas terutamanya 'Nasi Kandar'. Walau bagaimanapun, ramuan yang digunakan pada masa dahulu tidak sama berbanding pada masa sekarang. Pada masa itu, harga makanan di Pulau Pinang murah dan makanannya cukup enak, seperti Mee Goreng dan Laksa Pulau Pinang. Menurut beliau lagi, pada ketika itu, terdapat orang India Muslim yang menjual 'Karakote' yang disumbat dengan Tauge dan disaluti dengan kuah yang cukup enak rasanya. Akibat daripada peredaran masa, banyak daripada makanan-makanan seumpama ini tidak lagi terdapat di Pulau Pinang. Namun begitu, makanan-makanan yang dijual pada masa sekarang terlalu tinggi harganya. Misalnya, satu pinggan Pasembor yang dijual di Padang Kota Lama, harganya mencecah RM 30 sepinggan. Justreru, dalam membincangkan tentang adat resam Melayu Pulau Pinang, beliau mengembalikan nostalgia di zaman silamnya.

Kesimpulan
Sebagai rumusan, pengerusi menyatakan apabila memperkatakan tentang kebudayaan, ia bukan sahaja menyentuh budaya non-material malah kita juga akan menyentuh budaya material. Budaya material juga tidak kurang banyaknya yang terdapat di Pulau Pinang jika kita hendak memperkatakan tentang hal ini. Kepelbagaian budaya yang terdapat di Pulau Pinang jika dihidupkan kembali sudah tentulah kita dapat menggamit orang luar untuk berkunjung ke Pulau Pinang.