|
Pengenalan
Kajian ke atas keterlibatan orang Melayu-Muslim*(1) di Pulau Pinang di
dalam kegiatan berbentuk bawah tanah sejak abad ke-19 membawa kita kepada
senario sebenar permasalahan yang dihadapi, dan diwujudkan oleh sebuah
kerajaan asing yang baru bertapak dan juga masalah yang bersifat dalaman
dalam komuniti itu sendiri. Sifat sebenar kerajaan awal yang dibentuk
pada 1786 yang melihat orang Melayu hanya layak melakukan kerja-kerja
"membersih hutan" untuk kesenangan warga lain meneroka peluang
ekonomi yang bakal menguntungkan orang Barat sebenarnya terbawa-bawa dalam
pentabdiran berikutnya dalam menangani isu-isu yang berkait dengan masyarakat
beragama Islam di negeri itu. Akhirnya perkara-perkara yang sangat jelas
memerlukan campurtangan dan pemerhatian kerajaan diserahkan sepenuhnya
kepada ketua-ketua orang Melayu yang dilantik.
Dengan meneliti senario ini kita akan lebih memahami mengapa kerajaan
tidak begitu memberi perhatian terhadap kewujudan "persatuan-persatuan
Kling" yang sering bergaduh yang disebut dengan tanpa nama di dalam
dokumen kerajaan dan akhbar tempatan. Mereka dianggap sebagai kelompok
pinggiran bagi kepentingan British. Orang Melayu, misalnya, seringkali
dilihat sebagai bangsa pemalas - 3 orang buruh Cina disamakan denggan
5 orang buruh Melayu atau India*(2). Dengan tanggapan sebegini orang Melayu-Islam
dibiarkan diuruskan oleh ketua masing-masing dan kurang mendapat perhatian
kerajaan kecuali yang kaya raya seperti Tengku Syed Hussain, keturunan
diraja Arab daripada Acheh yang sangat dialu-alukan kedatangannya bersama-sama
kaum kerabatnya ke Pulau Pinang pada 1792. Tengku Hussain diterima baik
kerana beliau merupakan peniaga rempah yang utama di antara Acheh dan
Pulau Pinang.*(3)
Namun begitu cabaran terbesar kerajaan asing ini muncul berikutan meletusnya
satu rusuhan besar di Pulau Pinang pada 1867 yang melibatkan pergabungan
yang diluar jangkaan di antara kongsi gelap Melayu dan kongsi gelap Cina
yang aktif di Pulau Pinang waktu itu. Peristiwa Rusuhan ini merupakan
satu tamparan hebat kepada kerajaan yang akhirnya mendedahkan beberapa
kelemahan di pihak kerajaan sendiri. Antara lain, ia menonjolkan kesan
buruk dasar pecah perintah Sharikat India Timur Inggeris (EIC). Meskipun
penempatan awal kelihatan sebagaimana kehendak EIC, misalnya, orang Cina
menghuni kawasan bandar dan bergiat dalam ekonomi perniagaan dan sebagai
buruh mahir sementara orang Melayu asli samada yang sudah lama tinggal
di Pulau Pinang sebelum kedatangan Francis Light atau yang datang dari
Sumatera, menetap di luar bandar dan hidup sebagai petani dan bekerja
kampung namun perhubungan di antara kelompok yang kelihatan terpisah dari
segi penempatan ini tetap berlaku. Selain daripada orang Cina, orang India-Muslim,
Jawi Pekan dan keturunan Arab turut mendiami kawasan bandar. Mereka juga
merupakan golongan peniaga yang kaya dan berpengaruh. Golongan Islam yang
tinggal di bandar ini akhirnya menjadi penghubung di antara orang Melayu-Muslim
di luar bandar dengan aktiviti di bandar.
Selain daripada itu agama Islam turut menjadi ejen penyatuan yang penting.
Walaupun dari segi penempatan orang-orang Islam kelihatan terpecah tetapi
hakikat bahawa mereka seagama menjadi penyatu yang penting. Tambahan pula
keperluan di tempat baru mewujudkan pergantungan antara satu sama lain
malah melampaui batasan kaum. Justeru itu yang terbentuk di Pulau Pinang
sebenarnya adalah satu masayarakat yang bersifat anjal dalam segenap aspek
termasuk soal perkahwinan. Perkahwinan campur yang akhirnya membentuk
masyarakat baru seperti Baba, Jawi Pekan*(4) dan keturunan Arab merupakan
bukti penting perkara ini.
Rusuhan Pulau Pinang juga semakin mengesahkan kritikan orangramai terhadap
kelemahan sistem pertahanan kerajaan. Perkhidmatan polis, misalnya, seringkali
dikritik bukan sahaja kerana kegagalan membendung kegiatan jenayah di
negeri itu tetapi juga kerana diisi oleh orang-orang yang tidak berdisiplin
malah turut terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk kongsi gelap*(5).
Masalah paling besar ialah bilangan polis yang tidak mencukupi untuk mengawal
keadaan sehingga barisan pertahanan terpaksa dibawa daripada kawasan berdekatan.
Kerajaan juga membentuk barisan pertahanan yang terdiri daripada orang
Eropah dan Eurasian untuk mengawal jalan dan lorong di kawasan bandar.
Gabungan kongsi-kongsi gelap yang terlibat kelihatan cukup lengkap sebagaimana
barisan pertahanan kerajaan. Ia sebenarnya lebih berupaya daripada barisan
pertahanan kerajaan kerana kongsi-kongsi Cina mempunyai bekalan senjata,
bantuan kewangan dan tenaga pertahanan kecemasan yang adakalanya dibawa
masuk dari luar Pulau Pinang. Bantuan-bantuan ini ditaja oleh taukeh-taukeh
kaya yang kebanyakannya merupakan ketua kongsi gelap.
Kemunculan dan keterlibatan orang Melayu dalam persatuan-persatuan sulit
juga berkait dengan masalah dalaman dalam komuniti itu sendiri. Bilangan
penghuni asal berbangsa Melayu di negeri itu sangat kecil*(6). Dengan
pertambahan pesat penduduk pelbagai bangsa dari negara luar maka ia memberi
satu tekanan dan mengujudkan kecelaruan dalam soal membina identiti bangsa
dan budaya. Identiti budaya apa yang harus mereka ikut apatah lagi dengan
kemunculan masyarakat campur seperti Jawi Pekan, Baba dan Arab Peranakan.
Kecelaruan memilih identiti mana yang harus diikut - sebelah bapa atau
ibu, akhirnya memberi ruang kepada unsur dan budaya luar masuk dan bertapak
kukuh di kalangan orang Melayu-Muslim di negeri itu. Boria yang dianggap
identiti budaya negeri tersebut, misalnya, bukanlah milik orang Melayu
asal. Ia terbentuk daripada percampuran budaya luar yang diterima baik
oleh semua kelompok Melayu-Muslim. Permainan ini tidak dapat dibenteras
dengan mudah oleh pihak berkuasa setelah mengetahui ia digunakan untuk
tujuan kegiatan jenayah kerana kerajaan sendiri beranggapan ianya sebagai
persembahan budaya yang harus dibenarkan.
Selain itu budaya ikut-ikutan jelas terlihat dalam aspek kehidupan berbudaya
dan beragama. Orang-orang Melayu-Islam tidak keberatan mengikut cara orang
Cina menubuhkan persatuan sulit dan juga tidak keberatan menyertai persatuan
sulit Cina*(7). Dari segi beragama pula, mereka tidak keberatan menyambut
perayaan Hindu seperti Duserrah seperti yang diamalkan di India sebagaimana
lekanya orang yang beragama Hindu menyambut Muharram. Mereka tidak peka
memilih ketua agama dan akhirnya menjadi pengikut guru agama yang terlibat
dalam kegiatan kongsi gelap. Tuan Chee, pemimpin Bendera Putih dan Che
Long, ketua Bendera Merah semasa Rusuhan Pulau Pinang, misalnya, mengetuai
jumaah masing-masing. Che Long misalnya, mengetuai jumaahnya di Acheen
Street yang seringkali dirujuk sebagai "kampong Che Long" sebagai
menandakan pengaruhnya di kawasan tersebut. Beliau bukan sahaja kaya malah
juga disifatkan oleh seorang saksi dalam satu siasatan yang diadakan selepas
Rusuhan Pulau Pinang sebagai merbahaya dan boleh mencederakan orang lain
atau mengarahkan pengikutnya untuk berbuat demikian*(8)
Kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri yang tidak beraja dan ketiadaan
satu badan yang menguruskan hal ehwal umat Isam menyebabkan tidak ada
unsur penyatuan di kalangan umat Islam. Orang-orang seperti Tengku Syed
Hussain, kerana pengaruhnya yang kuat terhadap ekonomi dan hubungan baik
dengan Francis Light, telah diberikan kebenaran bertulis untuk membentuk
dan menguruskan hal ehwal kaum keluarganya berdasarkan undang-undang dan
peraturan mereka sendiri. Kesemua kesalahan diadili mengikut undang-undang
Islam dan kaum keluarganya dikecualikan daripada tindakan undang-undang
British*(9). Ajaran-ajaran dari luar seperti sufi, tarikat Naqsyabandiah
dan ajaran baru seperti Taslim yang diasaskan oleh Haji Muhammad Matahari
pada 1870 di Kampong Seronok, Bayan Lepas bergerak tanpa kawalan pihak
berkuasa. Keanjalan ini, beserta pergaulan dan persaingan ekoran kepesatan
Pulau Pinang sebagai bandar kosmopolitan menjadikan apa sahaja kegiatan
orang Melayu-Muslim terdedah kepada perubahan*(10)
Nota Hujung
| *(1) |
|
Melayu-Muslim dalam konteks
kajian ini merujuk kepada orang Melayu peribumi dan termasuk juga
dari Indonesia yang beragama Islam, orang Tamil-Islam, Arab dan lain-lain
golongan peranakan yang beragama Islam. |
| *(2) |
|
Sarnia Hayes Hoyt 1991. Old Penang, Singapore:
Oxford University Press, hlm. 40 |
| *(3) |
|
Ibid., hlm 30, 83-84. |
| *(4) |
|
Jawi Pekan merupakan masyarakat yang muncul
hasil perkahwinan orang India dengan wanita Melayu. Masyarakat Baba
pula terbentuk hasil perkahwinan orang Cina dengan wanita Melayu. |
| *(5) |
|
Untuk melihat kritikan terhadap pasukan
polis, lihat, antaranya, Pinang Gazette and Straits Chronicle (selepas
ini disebut PGSC) 24 Julai 1847; PGSC 7 Ogos 1847; PGSC 7 April 1849.
Pengarang akhbar mengkritik kegagalan kerajaan membendung kes-kes
kecurian secara berkumpulan yang semakin meningkat sejak kebelakangan
itu. Selain bilangan anggota polis yang tidak mencukupi, adakalanya
balai penghulu (yang sepatutnya berfungsi sebagai tempat aduan) terletak
5 hingga 6 batu jauhnya dari tempat kejadian jenayah; PGSC 9 November
1850. Agak menarik, Ibu Pejabat Polis turut dirompak dalam satu kejadian
rompakan yang turut membabitkan anggota polis sendiri; PGSC 3 Mei
1851. Pengarang akhbar mempersoalkan ketiadaan polis di tempat kejadian
rompakan yang melibat 20 hingga 30 orang yang cuba menceroboh masuk
ke rumah seorang perempuan Cina. Perompak melarikan diri setelah jiran-jiran
perempuan itu datang memberi bantuan; PGSC 27 November 1852. Beberapa
orang termasuk anggota polis ditangkap kerana berjudi; PGSC 16 November
1850. Orang-orang Jawi Pekan dan anggota polis dilaporkan menjadi
ahli kongsi gelap Cina. |
| *(6) |
|
Untuk statistik tentang penduduk, lihat,
T. Braddell 1861. Statistics of the British Possessions in the Straits
of Malacca, Pinang: Pinang Gazette Office. Jumlah penduduk Melayu
pada 1786 hanyalah 100 orang. Jumlah ini meningkat kepada 33,959 pada
1830 dan 59,959 pada 1860. Pada tahun ini jumlah orang Cina mengatasi
orang Melayu. Jumlah orang Melayu yang tinggal di Georgetown juga
kecil iaitu 3,792 berbanding 16,928 orang Cina dan 7,310 orang India.
|
| *(7) |
|
Orang Melayu-Muslim yang menyertai kongsi
gelap Cina terpaksa menjalani semua upacara kemasukan sebagai ahli
sebagaimana ahli berbangsa Cina yang lain. |
| *(8) |
|
Siasatan ini dikenali sebagai The Penang
Riot Commission Report (selepas ini disebut PRCR.). Lihat, PRCR, saksi
No. 39, Vapoo Merican Noordin, seorang peniaga di Chulia Street yang
menetap di Acheen Street iaitu kawasan di bawah pengaruh Che Long. |
| *(9) |
|
J. R. Logan (Peny.) 1850. "Notices
of Pinang," JIA, Vol. 1V, hlm. 655 |
| *(10) |
|
Omar Farouk Shaeik Ahmad 1978. "The
Arabs in Penang," Malaysia in History, Jil. 21, Bil. 2, hlm..
6-7. Pada 1806 ajaran sufi dibawa masuk ke Pulau Pinang oleh Hamid
bin Bahman, seorang tokoh sufi yang terkenal dari Hadramaut. Untuk
tinjauan lanjut tentang ajaran Taslim di Pulau Pinang, lihat Asmah
bt. Abdul Manaf 1992. "Sejarah dan Perkembangan Pengaruh Ajaran
Taslim Yang Diasaskan Di Pulau Pinang, 1870-1960," tesis Sarjana
Sastera, USM. |
Kongsi
Gelap Bendera Putih dan Bendera Merah
Keterlibatan orang Melayu-Muslim dalam persatuan sulit boleh dilihat dalam
3 corak. Corak yang paling awal ialah penyertaan dalam kongsi gelap Cina.
Meskipun cerita penyertaan orang Melayu sebagai ahli kongsi gelap Cina
hanya diketahui pada 1850-an namun dipercayai penyertaan itu sudah lama
berlangsung. Keterlibatan ini didedahkan oleh J. D. Vaughan, Penguasa
Polis di Pulau Pinang (1851-56) yang menemubual seorang tuan haji yang
pernah menyertai beberapa buah kongsi gelap Cina dengan kerelaan sendiri.
Vaughan juga melaporkan seorang penghulu pernah menyertai Ho Seng dan
tindakannya itu diikuti oleh seluruh penduduk di kampungnya*(11). Tindakan
ini didorong oleh ketaksuban yang melampau terhadap golongan yang berstatus
tinggi di dalam kampung seperti penghulu, orang yang bergelar haji mahupun
orang kaya dalam sesebuah kampung. Corak yang kedua ialah menjadi ahli
kongsi gelap Melayu semata-mata. Dua kongsi gelap Melayu yang paling awal
muncul di negeri itu ialah Bendera Putih dan Bendera Merah*(12). Bentuk
yang ketiga, ialah menjadi ahli kongsi Melayu dan pada masa yang sama
turut menyertai kongsi gelap Cina. Corak ini sangat jelas kelihatan sewaktu
perstiwa Rusuhan Pulau Pinang 1867. Penyertaan orang Melayu-Muslim dalam
kegiatan kongsi gelap didorong oleh beberapa sebab. Kongsi gelap Melayu
diwujudkan dengan hasrat untuk mencontohi cara kongsi gelap Cina melindungi
kebajikan masyarakat Cina lebih-lebih lagi dengan kejadian jenayah yang
semakin berleluasa ekoran pertumbuhan ekonomi yang pesat. Penyertaan di
dalam persatuan sebegini dibuat secara sukarela dan adakalanya secara
paksaan. Hal ini mudah berlaku. Jika seseorang itu tinggal dalam kawasan
pengaruh sesuatu kumpulan Bendera, mereka akan diugut supaya menyertai
persatuan tersebut. Sementara itu penglibatan orang Melayu-Muslim dalam
kongsi gelap Cina berlaku kerana mereka mendiami kawasan yang sama.
Kongsi gelap Bendera Putih dan Bendera Merah sekurang-kurangnya telahpun
wujud sejak 1830-an. Ia diasaskan oleh orang Jawi Pekan dengan tujuan
asal menguruskan soal keagamaan seperti sambutan Muharram dan perarakan
tabut*(13) serta menjaga kebajikan sosial seperti membantu menguruskan
kenduri kendara perkahwinan, kematian dan sebagainya. Persatuan ini hanya
mengambil orang-orang yang berkelakuan baik sahaja sebagai ahli mereka.
Namun, tujuan asal ini berubah di sekitar 1850-an ekoran kehadiran lebih
ramai masyarakat banduan yang diberi kebebasan menyertai sambutan Muharram
dan kemunculan yang lebih cepat golongan Jawi Pekan sejak pengenalan sistem
"ticket of leave" pada 1857 dan pengampunan sebahagian besar
banduan ekoran perpindahan pentadbiran Negeri-Negeri Selat dari India
ke London pada 1867*(14). Muharram kini bukan lagi merupakan sambutan
keagamaan yang aman tetapi menjadi gelanggang membalas dendam*(15). Perubahan
ini dibawa masuk oleh ahli-ahli yang berkelakuan jahat yang bergaul dengan
ahli kongsi gelap Cina dan kemudiannya mempengaruhi ahli lain menyertai
kegiatan mereka. Kumpulan ini jugalah yang bertanggungjawab mengheret
Melayu-Muslim yang lain yang selama ini menjauhi kegiatan seumpama itu
untuk turut serta dalam kegiatan mereka. Kehadiran anggota Melayu dalam
kongsi gelap Cina sangat dialu-alukan. Ia memudahkan kongsi Cina berurusan
dengan pihak polis kerana ramai anggota polis turut menjadi ahli kongsi
gelap samada kongsi gelap Melayu mahupun Cina*(16).
Pergabungan Bendera Putih dan Ghee Hin berlaku pada 1865. Bendera Merah
pula bergabung dengan Toh Peh Kong pada 1863. Banyak teori yang melihat
nama Bendera Putih dan Bendera Merah adalah berasal daripada perkataan
Cina yang menjadi kata kunci bagi kongsi gelap Cina waktu itu*(17). Di
percayai lambang-lambang bendera "merah" dan "putih"
mula digunakan sejak pergabungan itu. Permusuhan sesama kongsi gelap Melayu
ini bukanlah bermotifkan politik tetapi lebih kepada semangat persaingan
antara mukim tetapi kemudiannya diperalatkan oleh kongsi gelap Cina yang
saling bermusuhan sebagai kekuatan tambahan bagi mencapai tujuan mempeluaskan
kawasan pengaruh masing-masing. Meletusnya Rusuhan pada tahun 1867 adalah
berpunca daripada pergaduhan antara Bendera Putih dan Bendera Merah semasa
perayaan Muharram pada tahun berkenaan tetapi kemudiannya telah dipergunakan
oleh Ghee Hin dan Toh Peh Kong untuk meneruskan permusuhan mereka. Peristiwa
rusuhan ini digambarkan oleh saksi-saksi PRCR sebagai menggerunkan dan
penuh kejadian ganas. Rusuhan ini melibatkan bukan sahaja kawasan bandar
malah juga merebak ke luar bandar. Masjid menjadi markas utama Bendera
Putih dan Bendera Merah. Gabungan 1,000 orang Bendera Merah dengan 3,000
orang Toh Peh Kong kelihatan lebih kecil berbanding kombinasi orang Bendera
Putih dan Ghee Hin yang dikatakan berjumlah 25,000 orang. Namun kelebihan
Toh Peh Kong ialah mereka memiliki lebih banyak senjata yang dibekalkan
oleh pedagang kaya dan pembekal senjata di sekitar bandar.
Rusuhan Pulau Pinang juga mendedahkan bahawa pengaruh kumpulan Bendera
begitu meluas di bandar dan kawasan luar bandar. Bendera Putih menguasai
kawasan seperti Chulia Road, antara Chulia Road-Simpang Ampat, Hutton
Lane, Macalister Road, Jalan Bahru, Pulau Tikus, Kelawei, Tanjung Tokong,
Lorong Takia, Masjid Kapitan Kling dan Pintal tali. Kawasan pengaruh Bendera
Merah pula seperti Titi Papan, Jalan Sampah, Dato Kramat, Ayer Itam, Sungai
Pinang, Batu Uban, Bayan Lepas, Penang Road, Batu Maung, Kampung Bahru,
Telok Jelutong, Sungai Gelugor, Sungai Nibong dan Telok Kumbar. Nampaknya
sehingga 1867 sebahagian besar mukim di Pulau Pinang telahpun berada di
bawah pengaruh kumpulan Bendera. Dari segi penyertaan, orang Melayu-Muslim
daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dipercayai terlibat. Antaranya
ialah guru, peniaga, pemungut cukai kerajaan, peon polis dan mereka yang
bergelar haji*(18).Meskipun tidak dapat dipastikan bilangan sebenar orang
Melayu-Muslim yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap namun dikatakan
seramai 7,000 orang Melayu-Muslim telah keluar bersumpah di hadapan Sheikh
Omar Basheer yakni tokoh agama yang telah diberi mandat oleh pihak kerajaan
untuk menyelesaikan masalah tersebut*(19). Tindakan keluar bersumpah ini
adalah berikutan satu fatwa yang dikeluarkan oleh Sheikh Omar pada 4 Ogos
1867 yang menyebut pembabitan orang Islam dalam kegiatan seumpama ittu
sebagai perbuatan murtad. Orang Islam yang terbabit diseru bertaubat.
Surat akuan diberikan kepada sesiapa yang tidak terbabit dalam kegiatan
itu atau yang telah meninggalkan kongsi gelap. Bagi yang enggan bersumpah,
mereka akan menerima nasib dipulaukan daripada masyarakat*(20).
Langkah kerajaan menggunakan ketua-ketua agama dilihat sebagai salah satu
cara untuk menangani isu ini kerana pengaruh guru agama dalam masyarakat
Melayu-Muslim amat kuat. Langkah-langkah yang lain ialah memperkenalkan
beberapa ordinan dan di antara yang paling awal ialah The Dangerous Societies
Suppression Ordinance XIX of 1869. Namun nama-nama Bendera Putih dan Bendera
Merah hanya dimasukkan di dalam ordinan yang diperkenalkan pada 1882 iaitu
Ordinance 1V 1882. Dipercayai pada masa itu barulah kerajaan lebih serius
menangani masalah kongsi gelap di kalangan orang Melayu-Muslim kerana
Ordinan ini dengan tegas menyebut orang bukan Cina yang menyertai kongsi
gelap Cina akan didenda tidak melebihi $500.00. Denda yang berat juga
akan dikenakan kepada sesiapa yang memiliki bendera atau apa-apa lambang
dan tulisan sesuatu kongsi. Malah penghulu dan bilal turut dipertanggungjawabkan
sekiranya barang-barang itu ditemui di kawasan masjid di mukim mereka*(21).
Sementara itu penguatkuasaan Banishment Ordinance 1888, dan Societies
Ordinance 1889 yang membolehkan kerajaan menghukum buang daerah terhadap
ahli kongsi gelap yang cuba menghasut dan menghidupkan kembali kongsi
gelap menjadikan kerajaan bertambah yakin bahawa kegiatan kongsi gelap
secara menyeluruh akan dapat dihapuskan menjelang 1890*(22).
Nota Hujung
| *(11) |
|
J. D. Vaughan
1854. "Notes on the Chinese of Pinang," JIA, Jil. 8, No.
14, hlm. 17-20 |
| *(12) |
|
Beberapa kajian tentang keterlibatan
orang Melayu dalam kegiatan persatuan sulit di Pulau Pinang termasuk
di Seberang Perai telahpun dihasilkan setakat ini. Lihat, misalnya,
Mahani Musa 1999. "Malays and the Red and White Flag Societies
in Penang, 1830s-1920s," JMBRAS, Vol. LXX11, Part. 2, hlm. 151-182;
Mahani Musa 2000. "Masyarakat Melayu-Muslim Pulau Pinang, 1830-an
- 1930-an: Masalah Kepimpinan dan Pengaruh Kongsi Gelap," dalam
Mahani Musa dan Tan Liok Ee (peny.), Sorotan Terpilih Dalam Sejarah
Malaysia, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 61-87;
Zainol Jusoh 1982. "Pulau Pinang dan Seberang Perai 1890-1940:
Satu Kajian Mengenai Penglibatan Orang-orang Melayu dalam Pakatan
Sulit Bendera Putih dan Bendera Merah," Latihan Ilmiah, USM. |
| *(13) |
|
Tabut ialah lambang yang diarak oleh pengikut
shiah semasa sambutan Muharram. Lihat, Muhammad Ibrahim Munsyi. Kisah
Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi ( dengan pengenalan dan anotasi
oleh Mohd. Fadzil Othman 1980). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 110-12. Beliau menyaksikan "maulud cara Keling" di
Hutton Lane semasa lawatan singkat ke negeri itu pada 1871. Dalam
sambutan tersebut, tabut yang diarak adalah dalam bentuk kuda. |
| *(14) |
|
Di bawah sistem ini banduan
yang berkelakuan baik dibenarkan bekerja di luar penjara. Ramai daripada
banduan yang dibebaskan dari tahanan membuat keputusan untuk menetap
di negeri itu kerana sudah biasa dengan suasana di sekeliling mereka. |
| *(15) |
|
Lihat J. D.Vaughan, "Notes
on the Chinese of Pinang," hlm. 13-14. Vaughan pernah menyaksikan
kelakuan ganas anak-anak muda sewaktu sambutan Muharram . PGSC 22
Oktober 1853 juga melaporkan ketegangan sewaktu sambutan Muharram
pada bulan berkenaan. Vaughan selaku Penguasa Polis waktu itu berjaya
mengelakkan perarakan Jawi Pekan dan Kling bertembung di jalan yang
sama. Pertembungan di jalan yang sama memang sengaja dirancang dan
dinanti-nantikan oleh pihak yang terlibat. Meskipun polis dapat mengawal
keadaan ini, perasaan dendam tetap diteruskan dan akhirnya pergaduhan
tidak dapat dielakkan lagi. Dalam kejadian ini, kedua-dua pihak melepaskan
dendam masing-masing dalam satu pergaduhan di Chowrasta. Empat orang
ketua kumpulan itu telah ditangkap dan dikenakan denda. |
| *(16) |
|
C.O. 273/518 The Malayan Bulletin
of Political Intelligence, 25 November 1922 |
| *(17) |
|
Lihat perbincangan Khoo Kay
Kim 1975/76. "Keterlibatan Orang-orang Melayu dalam Persatuan-persatuan
Sulit," Jernal Sejarah, hlm. 63. |
| *(18) |
|
Senarai kawasan di bawah pengaruh
Bendera dan latar belakang orang yang terlibat ini diperolehi berdasarkan
keterangan saksi PRCR. Lihat, misalnya, keterangan saksi No. 37, Mohamed
Kader Houssain @ Pah Etam. Susunan ini juga boleh diperolehi daripada
M. L. Wynne, Triad and Tabut: A Study of the Origin ang Diffusion
of Chinese and Mohamedan Secret Societies in the Malay Peninsular
A.D. 1800-1935, Singapore: Government Printing Office, hlm. 190 |
| *(19) |
|
Historical Survey of the Mosques
and Kramats on Penang Island 1974. Penang: Penang Teachers College,
lampiran 4. |
| *(20) |
|
Contoh surat akuan ini terdapat
dalam buku catatan tokoh agama itu yang dipamerkan di Muzium Negeri
Pulau Pinang di bawah tajuk "Buku Catatan Peribadi Sheikh Omar
Basheer Dengan Rujukan Terhadap Rusuhan di Pulau Pinang Pada Tahun
1867." Satu kajian telahpun dibuat terhadap diari ini. Lihat,
Mahani Musa 1995. "Buku Catatan Peribadi Sheikh Omar Basheer
Dengan Rujukan Terhadap Rusuhan Di Pulau Pinang Pada Tahun 1867: Satu
Dokumen Sejarah Pulau Pinang Abad ke-19," dalam Abu Talib Ahmad
dan Cheah Boon Kheng (peny.), Isu-isu Pensejarahan (Esei Penghargaan
Kepada Dr. R. Suntharalingam), Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains
Malaysia, hlm. 116-139 |
| *(21) |
|
M. L. Wynne, Triad and Tabut,
hlm. 390-395 |
| *(22) |
|
C. O. 275 Annual Departmental
Reports of the Straits Settlements for the year 1889 |
Boria Sebagai Saluran Merekrut Ahli Baru
Hasrat kerajaan untuk menyaksikan kegiatan kongsi gelap di negeri itu
berkuburnya nampaknya tidak tercapai. Kegiatan tersebut di kalangan orang
Cina mahupun Melayu masih berterusan namun dalam keadaan yang lebih tertutup
untuk mengelakkan pengawasan polis. Kawalan ketat kerajaan ke atas kongsi
Cina sebenarnya turut meninggalkan kesan kepada kongsi gelap Melayu. Mereka
kini kehilangan penaung. Kegiatan kongsi Melayu kelihatan hilang arah
dan muncul dalam berbagai bentuk di akhir abad ke-19, daripada kegiatan
samseng jalanan hinggalah kepada permusuhan di tanah perkuburan dan perpecahan
di masjid. Penyamaran ini berterusan sehingga abad ke-20 menerusi penubuhan
kelab-kelab bolasepak untuk mengaburi mata pihak berkuasa.Tulisan tentang
boria telah banyak dihasilkan setakat ini. Namun peranan boria sebagai
saluran memperkembangkan kegiatan kongsi gelap Melayu tidak banyak diperkatakan.
Permainan ini dipercayai lahir daripada perarakan oleh orang Muslim Shiah
sewaktu bulan Muharram. Mereka membentuk kumpulan yang menyanyikan lagu-lagu
ratapan sebagai mengenang kembali peristiwa kematian Saidina Husin di
peperangan Karbala pada hari ke-10 bulan Muharram sewaktu menentang Yazid
bin Muawiyah. Corak sambutan yang aman ini tidak kekal lama kerana selepas
itu ia mula dipergunakan oleh ahli kongsi gelap Melayu sebagai medan untuk
tunjuk siapa lebih handal. Vaughan pernah menyaksikan bagaimana kumpulan
muzik yang terdiri daripada anak-anak muda ini bertindak di luar batasan
dan menganggu orang lain yang benar-benar ingin menyambut sambutan tersebut.
Mereka bukan sahaja mengubah sambutan tersebut kepada pesta sukaria namun
juga menjadi medan pertumpahan darah. Perubahan ini dapat dikesan melalui
lagu-lagu yang dinyanyikan yang bukan lagi berunsur ratapan tetapi lebih
kepada cabar mencabar untuk membangkitkan kemarahan pihak lawan.
Kawalan kerajaan selepas Rusuhan Pulau Pinang 1867 menjadikan boria sebagai
saluran penting untuk meneruskan kegiatan Bendera Putih dan Bendera Merah.
Boria menjadi saluran mendapatkan ahli-ahli baru*(23). Setiap kawasan
yang terlibat dalam kumpulan Bendera menubuhkan pasukan boria masing-masing.
Boria melambangkan prestij dan pengaruh ketika itu. Sesebuah kampung atau
mukim yang tidak mempunyai kumpulan boria dianggap memalukan*(24). Peluang
untuk bergerak juga lebih cerah kerana kerajaan melihat boria sebagai
suatu bentuk budaya. Malah ia begitu diminati bukan sahaja oleh orang
Melayu-Muslim tetapi juga oleh pegawai kerajaan, orang Eropah yang tinggal
di negeri itu dan juga orang-orang Cina. Malah taukeh-taukeh Cina turut
menaja sesebuah kumpulan boria. Perkara ini bukanlah luarbiasa ekoran
persahabatan yang telah sekian lama wujud di antara kongsi gelap Cina
dengan kongsi gelap Melayu.
Menjelang 1920, terdapat sekurang-kurangnya empat puluh hingga lima puluh
pasukan boria di Pulau Pinang yang masing-masing bernaung di bawah Bendera
Putih dan Bendera Merah. Di antara pasukan boria di bawah pengaruh Bendera
Merah ialah Boria Mukim Jelutong, Boria Kampung Pinang, Boria Bagan Jermal,
Boria Jalan Hatin, Boria Sungai Gelugor, Boria Kampung Rawana, Boria Kelawai,
Boria Gedung Rumput (sekarang King Street), Boria Kampong Ambun (sekarang
Penang Road-Northam Road), Boria Ujung Pancur (sekarang Transfer Road-Northam
Road) dan Boria Argyl Road.
Menjelang 1920, terdapat sekurang-kurangnya empat puluh hingga lima puluh
pasukan boria di Pulau Pinang yang masing-masing bernaung di bawah Bendera
Putih dan Bendera Merah. Di antara pasukan boria di bawah pengaruh Bendera
Merah ialah Boria Mukim Jelutong, Boria Kampung Pinang, Boria Bagan Jermal,
Boria Jalan Hatin, Boria Sungai Gelugor, Boria Kampung Rawana, Boria Kelawai,
Boria Gedung Rumput (sekarang King Street), Boria Kampong Ambun (sekarang
Penang Road-Northam Road), Boria Ujung Pancur (sekarang Transfer Road-Northam
Road) dan Boria Argyl Road.
Pasukan boria yang berada di bawah pengaruh Bendera Putih pula seperti
Boria Titi Papan (sekarang Penang Road-Chowrasta Market), Boria Padang
Garam (sekarang Carnavon Street-Kimberley Street), Boria Tanjong Tokong,
Boria Air Itam, Boria Kampong Jawa, Boria Kampong Dodol, Boria Kebun Lama,
Boria Kampong Makam, Boria Kampong Kolam, Boria Jalan Sampah (sekarang
Acheen Street), Boria Lorong Takian (sekarang Ah Quee Street), Boria Kampong
Lada (sekarang Armenian Street), Boria Pintal Tali (sekarang Rope Walk)
dan Boria Bakar Bata (sekarang Bricklin Road)*(25). Contoh pantun boria
yang bersifat cabar mencabar di antara pasukan Bendera Putih dan Bendera
Merah adalah seperti berikut:
Nota Hujung
| *(23) |
|
"The Boria in Perak,"
The Malayan Police Magazine, 8 (1), 1935, hlm. 26-7 |
| *(24) |
|
Haji Abu Bakar bin Jaafar (Pak Kan) 1980.
"Boria", Siri Mengenal Budaya, Bil. 5, Kuala Lumpur: Bahagian
Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hlm. 8 |
| *(25) |
|
Mahd. Ishak Abdul Aziz 1979. "Sejarah Boria,"
Kuala Lumpur: Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan Malaysia, Lampiran A. |
Boria
Tanjung Tokong (Bendera Merah)
Kita askhar di Tanjong Janggi
Kerja menanam gandun barley
Masok berniaga di tanah Jawi
Tanjong Tokong sedia menanti
Boria Mukim Kelawai (Bendera Merah)
Badui tua di kaki bukit
Keluar menjaga Masyrik ke Maghrib
Badui Arfah ampunya murid
Mukim Kelawai sedia tauhid
Boria Kampong Jawa (Bendera Putih)
Askar Takrubi kaum bebas
Padang peperangan baharu terlepas
Menangkap negeri terlalu pantas
Di kampong Jawa aturan jelas*(26)
Boria Padang Garam (Bendera
Putih)
Askar Yunan Kuantong sama
Sudah 'resi' daripada Cina
Keluar mencari som kom koma
Anak Padang selamat sempurna
Permainan boria meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat
Melayu-Muslim di Pulau Pinang. Selain daripada memecah-belahkan orang
Islam kepada hidup berpuak-puak mengikut kawasan pengaruh kumpulan Bendera,
ia menjadikan orang Melayu waktu itu mundur jika dibandingkan dengan bangsa
lain. Selama berlangsungnya sambutan Muharram, anak-anak muda ponteng
kerja dan kanak-kanak tidak bersekolah. Suami mengabaikan rumahtangga
sehingga ada yang dibuang kerja kerana leka bermain boria. Agama Islam
semakin tercemar kerana ahli pasukan boria biasanya minum arak sebelum
bergaduh dengan pihak lawan*(27). Pengaruh Bendera Putih dan Bendera Merah
hanya semakin berkurangan apabila langkah mengawal dan menghapuskan boria
dibuat oleh kerajaan dan pemimpin-pemimpin agama di negeri itu menjelang
abad ke-20.
Nota Hujung
| *(26) |
|
Dipetik daripada A. W. Hamilton,
"Boria," JSBRAS, September 1920, No. 82, hlm. 142-144 |
| *(27) |
|
Soal permainan boria dan kemunduran orang
Melayu-Muslim ini pernah diketengahkan oleh Mohd. Yusoff Sultan Maidin
dalam bukunya bertajuk Boria dan Benchananya yang diterbitkan di Pulau
Pinang pada tahun 1922. |
Penutup
Sejak pertengahan abad ke-19, sebahagian besar kawasan yang didiami oleh
orang Melayu di bandar dan di luar bandar Georgetown serta Seberang Perai
"ditawan" oleh kongsi gelap Bendera Putih dan Bendera Merah.
Kedua-dua kongsi gelap Melayu ini begitu berpengaruh dan menjadi "kerajaan
tidak rasmi" bagi orang Melayu-Muslim sehingga abad ke-20 meskipun
langkah kawalan diperkenalkan oleh kerajaan dan tokoh agama di negeri
itu. Lenyapnya pengaruh kongsi gelap ini sebenarnya berkait rapat dengan
perubahan yang dialami oleh orang Melayu-Muslim sendiri terutama dari
segi pendidikan dan peranan ulama mengeluarkan fatwa mengharamkan boria.
Apabila kesedaran muncul di kalangan ketua-ketua pasukan yang terbabit
maka pengaruh permainan itu ke atas orang Melayu-Muslim semakin berkurangan.
Namun perubahan ini mengambil masa yang panjang dan unsur bermain boria
semakin berubah corak kepada bentuk yang dapat dilihat pada hari ini selepas
Perang Dunia Kedua. Sejak itu juga pengaruh Bendera Putih dan Bendera
Merah beransur hilang kerana pada masa yang sama persatuan-persatuan alternatif
semakin banyak muncul di negeri itu.
Nota Hujung
| *(28) |
|
Pada 1920, satu fatwa dikeluarkan
oleh Sheikh Zakaria bin Omar Basheer (mufti), Tuan Haji Daud bin Tamim
dan Tuan Haji Mustapha bin Ismail (Kadhi) yang mengharamkan boria.
Fatwa ini dilekatkan di masjid-masjid di sekitar bandar Georgetown.
Alim ulama juga giat menasihati orang Islam tentang keburukan permainan
boria. Lihat, Mohd. Yusoff Sultan Maidin, Boria dan Benchananya, lampiran
Surat Kuning. |
| *(29) |
|
Untuk maklumat lanjut tentang kempen memerangi
boria sejak dekad pertama abad ke-20 dan tindakan yang berupa keinsafan
di kalangan pemimpin boria, lihat, Mahani Musa, "Malays and The
Red and White Flag Societies in Penang, " hlm. 178-179 |
Bibliografi
| 1. |
|
C.O. 275, Annual Departmental
Reports of the Straits Settlements dari tahun 1856-1929 |
| 2. |
|
C.O. 273/518, The Malayan Bulletin of
Political Intelligence, 25 November 1922
PGSC, dari tahun 1844-1914. |
| 3. |
|
Anson, E. A. H., 1920. About Others and Myself, 1745-1920,
London: John Murray |
| 4. |
|
Blythe, W, 1969. The Impact of the Chinese
Secret Societies in Malaya, London: Oxford University Press. |
| 5. |
|
"The Boria in Perak," The Malayan
Police Magazine, 8 (1), 1935. |
| 6. |
|
Braddell, T., 1861. Statistics of the
British Possessions in the Straits of Malacca, Pinang: Pinang Gazette
Office. |
| 7. |
|
Haji Abu bakar bin Jaafar (Pak Kan) 1980.
"Boria," Siri Mengenal Budaya, Kuala Lumpur: Bahagian Kebudayaan,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. |
| 8. |
|
Hamilton, A. W., 1920. "Boria,"
JSBRAS, 82. |
| 9. |
|
Historical Survey of the Mosques and Kramats
on Penang Island 1974. Penang: Penang Teachers College. |
| 10. |
|
Houghton, G. T., 1897. "Boriah,"
JSBRAS, 30. |
| 11. |
|
Khoo Kay Kim 1975/76. "Keterlibatan
Orang-orang Melayu dalam Persatuan-persatuan Sulit," Jernal Sejarah. |
| 12. |
|
Logan, J. R. (peny.)1850. "Notices
of Pinang," JIA, Jil. 4.
|
| 13. |
|
Mahani Musa 2000. "Masyarakat Melayu-Muslim
Pulau Pinang, 1830-an -1930-an: Masalah Kepimpinan dan Pengaruh Kongsi
Gelap," dalam Mahani Musa dan Tan Liok Ee (peny.) Sorotan Terpilih
Dalam Sejarah Malaysia, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
----------------- 1999. "Malays and The Red and White Flag Societies
in Penang, 1830s-1920s, JMBRAS, Jil. LXX11, Bah. 2.
----------------- 1995. "Buku Catatan Peribadi Sheikh Omar Basheer
Dengan Rujukan Terhadap Rusuhan Di Pulau pinang pada tahun 1867: Satu
Dokumen Sejarah Pulau Pinang Abad ke-19," dalam Abu Talib Ahmad
dan Cheah Boon Kheng (peny.) Isu-isu Pensejarahan (Esei Penghargaan
Kepada Dr R. Suntharalingam), Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains
Malaysia. |
| 14. |
|
Mahd. Ishak Abdul Aziz 1979. "Sejarah
Boria," Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. |
| 15. |
|
McNair, J. F. A., 1899. Prisoners Their
Own Warders: A Record of Convict Prison at Singapore in the Straits
Settlements Established 1825, discontinued 1873, together with a Cursory
History of the Convict Establishment at Bencoolen, Penang and Malacca
from the year 1797, London: Archibald Constable. |
| 16. |
|
Mohd. Yusoff Sultan Maidin 1922, Boria
dan Benchananya, Penang: Merchantile Press. |
| 17. |
|
Muhammad Ibrahim Munsyi, Kisah Pelayaran
Muhammad Ibrahim Munsyi (dengan Pengenalan dan Anotasi oleh Mohd Fadzil
Othman 1980). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. |
| 18. |
|
Omar Farouk Shaeik Ahmad 1978. "The
Arabs in Penang," Malaysia in History, Jil.21, Bil. 2. The Penang
Riots Reports 1867: Report of the Commissioners Appointed Under Act
XXI of 1867, to Enquire into The Penang Riots (PRCR), Penang: Argus
Press, 1868. |
| 19. |
|
Sarnia Hayes Hoyt 1991. Old Penang, Singapore:
Oxford University Press. |
| 20. |
|
Stirling, W. G., 1925. "The Red and
White Flag Societies," JMBRAS, Jil. 1. No. 1. |
| 21. |
|
Turnbull, C. M., 1972. The Straits Settlements
1826-1867: Indian Presidency to Crown Colony, London: Athlone Press. |
| 22. |
|
Vaughan, J. D., 1854. "Notes on the
Chinese of Pinang," JIA, Jil. 8, No. 14.
-----------------, 1857. "Notes on the Malays of Pinang and Province
Wellesley, JIA, Jil. 2. |
| 23. |
|
Wynne, M. L., 1941. Triad and Tabut: A
Study of the Origin and Diffusion of Chinese and Mohamedan Secret
Societies in the Malay Peninsular A.D. 1800-1935, Singapore: Government
Printing Office. |
| 24. |
|
Zainol Jusoh 1982. "Pulau Pinang
dan Seberang Perai 1890-1940: Satu Kajian Mengenai Penglibatan Orang-orang
Melayu dalam Pakatan Sulit Bendera Putih dan Bendera Merah,"
Latihan Ilmiah, USM. |
|